Thursday, December 30, 2010

Tidak Jadi Pindah

MIRI – Cadangan untuk memindahkan Sekolah Menengah (SM) Sains Miri ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinjar, Lapok di Baram dibatalkan, sebaliknya sesi persekolahan akan diteruskan  seperti biasa.

Keputusan tidak rasmi itu diputuskan semasa mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM),  Dato Abd Ghafar Mahmud dan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Datin Fatimah Abdullah hari ini. Hadir sama pengetua Serina Sauni.

Sumber memberitahu, sehubungan itu pelajar tingkatan 2 hingga 5 bagi tahun 2011 akan melapor diri pada Ahad ini. “Mana-mana bangunan yang diisytihar tidak selamat akan diperbaiki dan dibina baharu dalam masa terdekat. Pihak sekolah akan mendapatkan kajian menyeluruh daripada Jabatan Kerja Raya (JKR),” jelas sumber itu.

Tambahnya, pihak sekolah akan mendapat bangunan kilat atau kabin dan bangunan yang baru dalam masa yang sama. Sementara itu, Isnin lalu ibu bapa membantah cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) untuk memindahkan SM Sains Miri di Bakam ke SMK Tinjar di Lapok, Baram, kira-kira 120 kilometer dari Miri. Sekolah yang menempatkan kira-kira 400 pelajar itu perlu dipindahkan segera kerana bangunan sekolah retak dan tidak selamat digunakan.

(Source by: Hazel Lee http://sarawakupdate.com/home/local-news/sm-sains-miri-tidak-jadi-berpindah-bangunan-diperbaiki-dan-dibina-semula/)

Apa kata ARP

Secara jujur saya tidak menyokong namun tidak membantah cadangan memindahkan pelajar SainSri ke SM Tinjar. Dan keputusan sudah dibuat, tidak ada perpindahan berlaku. Dari segi keselamatan, sememangnya kita tidak boleh bertolak ansur dan mengambil risiko dengan mempertaruhkan nyawa pelajar-pelajar dan guru-guru. Pihak sekolah dan kementerian sepatutnya sudah lama menyelesaikan masalah kerosakan di bangunan sekolah tersebut. Apapun isu nya, saya berharap agar pihak yang berkuasa menyelesaikan masalah itu dengan segera.

Tetapi jangan lupa, saya percaya lebih banyak lagi bangunan sekolah terutamanya yang terletak di kawasan pedalaman yang boleh dikatakan 'agak tidak selamat'. Semoga pihak yang berwajib tidak terlepas pandang, kerana saya percaya pelajar-pelajar dan guru-guru yang berada di sekolah tersebut pun mahu hak mereka tidak diabaikan. Mereka juga rakyat Malaysia sebagaiman warga Sainsri. 

Semoga selepas ini, pihak kerajaan akan membangunkan Pekan Lapok, supaya bukan sahaja pelajar dan guru yang akan berada di SM Tinjar tidak jauh ketinggalan dari rakan-rakan mereka di bandar. Selain daripada jalan raya, Pekan Lapok juga memerlukan banyak lagi kemudahan asas seperti Klinik Kesihatan, Balai Polis, Balai Bomba, Dewan Masyarakat dan sudah pasti bekalan elektrik 24 jam dan air bersih. 

No comments:

Post a Comment