Tuesday, December 14, 2010

Ideologi dan Manipulasi

Pilihanraya Sarawak menjelang tiba, di mana-mana kita akan terjumpa pengulas-pengulas tidak bertauliah dan tukang-tukang tilik masing-masing membuat andaian bila pilihanraya akan diadakan. Dan tidak kurang juga hebatnya ada yang telah meramalkan siapa akan menang dan di mana. Ada juga yang meramalkan bahawa Barisan Nasional akan mendapat tentangan hebat daripada penduduk Sarawak dan kemungkinan untuk kali pertama Barisan Nasional mungking akan kehilangan majoriti 2/3 untuk terus memerintah Sarawak. Disebalik itu ada yang lebih emosional dan berani menelah kemungkinan untuk pakatan pembangkang atau Pakatan Rakyat akan memerintah Sarawak. Semuanya cuba berlumba-lumba untuk mengeluarkan pendapat masing-masing terpulang kepada ideologi tersendiri. Bagi penyokong BN, pembangkang tidak ubah tin kosong yang mendendangkan lagu yang sama setiap kali menjelang pilihanraya, pembangkang dianggap pengacau dan tidak harus di layan. Bagi penyokong Pakatan Rakyat (PKR, PAS, DAP, SNAP) Barisan Nasional mesti dikurangkan majoriti 2/3 dan kalau boleh negeri Sarawak mesti ditawan. Alasan mereka mudah, BN telah memerintah sejak sekian lama, dan masih banyak isu-isu pembangunan, tanah, pendidikan, kesihatan, ketidakadilan, rasuah malah kronisme yang harus ditamatkan.
Saya cuba menulis untuk berlaku adil di belah kedua-dua pihak yakni BN dan PR. Tidak dinafikan jiwa saya memberontak, bukan tidak bersyukur dengan apa yang telah dinikmati dan disumbangkan oleh kerajaan yang ada sekarang, tetapi lebih banyak usaha yang perlu dilakukan oleh kerajaan yang memerintah untuk kebaikan rakyat negeri Sarawak. Saya tidak mahu menyentuh soal satu satu-satu kaum, kerana saya tidak mahu dianggap perkauman atau rasist. Apa yang ingin saya kongsikan disini adalah kenyataan yang perlu diterima oleh kedua-dua pihak. Secara jujur saya merupakan ahli parti salah satu komponen BN di Sarawak. Namun begitu tidak bermaksud saya menyokong segala keputusan dan dasar parti secara membuta tuli. Sebagai ahli kita ada hak untuk bersuara dan menegur pucuk pimpinan parti sekiranya apa yang kita rasa tidak betul.
Kembali kepada apa yang ingin saya kongsikan bersama kepada pembaca yang sudi membaca, semalam saya menghadiri mesyuarat tahunan parti yang saya anggotai. Mesyuarat ini secara khusus khas untuk pemimpin atau ahli jawankuasa parti. Saya dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk menganggotai barisan kepimpinan di peringkat bahagian yang membolehkan saya menghadiri mesyuarat ini. Apa sangat jawatan itu hendak dibanggakan. Maaf dan mungkin keterlaluan bagi saya ingin mengatakan bahawa kebanyakan orang ingin melibatkan diri dalam politik kerana ada agenda tersendiri, bak kata orang ada udang di sebalik batu. Secara jujur saya telah menyertai dan menjadi ahli jawatankuasa sejak 4 tahun yang lalu,masih muda dah mentah di dalam politik bagi orang muda seperti saya. Matlamat saya ingin berkhidmat untuk rakyat, kepada komuniti saya, bukan untuk mengejar jawatan, tender, projek atau kesenangan peribadi. Bukti nya jelas, sampai sekarang saya masih bekerja makan gaji. Saya tidak pernah gunakan duit parti untuk melakukan kerja-kerja parti,dengan duit gaji yang tidak seberapa itu saya cuba gagahkan diri terus menyokong perjuangan parti, kerana bagi saya keikhlasan untuk membawa perubahan dari segi pendidikan, ekonomi dan kesihatan terutama di kawasan saya lebih penting daripada benda lain.
Hakikatnya saya sangat sedih, kerana sehingga hari ini negeri Sarawak agak ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur, tidak perlu saya sebutkan satu-satu persatu, bagi penduduk Sarawak mereka tahu apa kekurangan mereka. Saya tidak mahu menyentuh isu tersebut dengan mendalam. Apa yang cuba saya ingin sampaikan adalah sokongan ahli-ahli yang membuta tuli. Saya tidak menyalahkan mereka, mereka telah dibesarkan dengan ideologi yang sama iaitu hanya Barisan Nasional yang boleh membawa pembangunan dan perubahan, walhal dalam masa yang sama mereka masih meminta simpati wakil rakyat untuk membantu mereka dalam perkara asas seperti jalan raya, air bersih, eletrik walhal Sarawak sudah merdeka bukan nya baru 10 tahun. Kemudahan asas ini sepatutnya telah lama disediakan, tapi masih mereka menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada Barisan Nasional. Dan yang lebih menyedihkan, dibawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional, hak tanah adat atau NCR penduduk masih dinafikan. Kita dapat melihat begitu banyak ladang-ladang kelapa sawit yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat yang begitu mudah mendapat hak atau geran tanah. Sehingga ada seorang ‘tuai rumah” (ketua kampung di rumah panjang) memaklumkan kepada wakit rakyat bahawa di penempatan mereka, ada di antara penduduk yang sudah tidak memiliki walau sekeping tanah untuk mendirikan tandas jauh lagi untuk bercucuk tanam. Ini kerana menurut pihak syarikat yang mengusahakan ladang kelapa sawit tersebut, di dalam geran tidak ada tanah NCR atau tanah penduduk. Tapi dengan hebatnya “tuai rumah” yang sama menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada Barisan Nasional. Wow...dalam hati kecil saya berkata, begitu kuat ideologi dan manipulasi yang telah disemai BN sejak merdeka.
Sejak berkurun lama nya, masyarakat Sarawak khusunya masyarakat Dayak (maaf, terpaksa menyebut kaum) mengatakan bahawa mereka kaya dengan tanah adat atau NCR. Tetapi sayang, sehingga ke hari ini ramai yang tidak sedar sebenarnya mereka tidak memiliki walau sekeping tanah untuk mendirikan tandas, ini kerana tidak ada nama mereka tercatat di dalam geran. Yang ada hanya mereka yang membeli rumah di kawasan bandar. Bila-bila masa sahaja syarikat-syarikat besar (tidak perlu saya dedahkan) boleh datang membawa segala peralatan untuk mengambil hak mereka. Kerana syarikat-syarikat besar ini telah ada hak atau geran ke atas tanah tersebut. Saya bukan peguam, tetapi secara amnya pihak syarikat ini berdiri di landasan yang betul dan sekiranya dibawa ke mahkamah mereka ada bukti kukuh menyatakan bahawa tanah tersebut adalah milik mereka.  Tetapi lagi penduduk yang sama mengundi dan memenangkan Barisan Nasional yang secara tidak langsung menafikan hak penduduk tersebut terhadap tanah mereka.
Baiklah,lupakan sekejap pasal tanah, kerana saya tidak arif dari segi perundangan berkaitan tanah. Saya ingin berkongsi kembali pengalaman mesyuarat semalam, majoriti “tuai rumah” memaklumkan bahawa mereka tidak membenarkan pihak pembangkang untuk naik ke rumah panjang, jauh sekali untuk membenarkan mereka menyampaikan sepatah dua kata. Terus terang saya katakan perkara ini berlaku di majoriti semua rumah panjang di seluruh Sarawak. Sekali lagi saya memohon maaf, kenapa saya lebih berbicara berkenaan rumah panjang, ini kerana kenyataannya bahawa penduduk-penduduk rumah panjang ini begitu setia dengan BN dari dulu lagi dan tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa mana-mana parti samada BN atau PR bergantung kepada undi dari kawasan pedalaman untuk menawan Sarawak dan seterusnya Putrajaya. Bukan mudah untuk menawan hati pengundi-pengundi ini jika ideologi dan pendekatan yang dibawa tidak bersesuaian.
Hari ini, semakin ramai hero-hero yang cuba memperjuangkan dan mengimbangi kuasa BN di Sarawak, tidak perlu saya katakan satu persatu. Pihak PR ada strategi tersendiri dan pastinya BN akan menggunakan segala sumber dan strategi yang ada untuk mempertahankan Sarawak. Nasihat saya kepada kedua-dua pihak, jika ingin menang di pertarungan yang bakal menjelang bila-bila masa, strategi dan ideologi yang betul harus digunakan. Apakah strategi dan ideologi itu tidak perlu saya katakan, kedua-dua pihak memiliki pakar strategi dan ideologi masing-masing.
Ramalan saya,BN akan terus memerintah dengan majoriti 2/3 kerana tuai-tuai rumah ini berdiri teguh di belakang BN, jika ada pun seorang dua yang tidak bersetuju dengan dasar BN, mereka harus bersetuju dan harus menyokong BN kerana bagi mereka, hanya BN yang boleh membawa pembangunan dan lebih-lebih lagi gaji mereka dibayar oleh BN. Dan tuai-tuai rumah ini akan memaklumkan kepada semua penduduk di kawasan jagaan mereka bahawa mereka harus memangkah simbol dacing walaupun hakikat dan kebenaran segala apa yang mereka banggakan selama ini sedikit demi sedikit telah dikikis.
Kepada PR, jika mereka mengimpikan untuk memerintah Sarawak, kemungkinan itu menjadi kenyatan bagi saya mungkin 15-20 tahun yang akan datang. Andaian saya berdasarkan penilaian pada masa sekarang, majoriti penduduk Sarawak yang sudah layak mengundi belum mendaftar sebagai pengundi, dan dalam tempoh 15-20 tahun akan datang, akan lebih ramai golongan muda yang mungkin tidak bergantung kepada parti tetapi akan memilih mengikut kemampuan mana-mana parti atau calon yang dilihat bersih, boleh menyuarakan hak mereka di platform yang betul.
Akhir sekali saya doakan untuk keamanan, kemakmuran, keadilan kepada seluruh rakyat Sarawak khasnya dan rakyat Malaysia am nya. Semoga mana-mana parti yang memerintah akan mengutamakan rakyat dari kepentingan diri sendiri, sesuai dengan slogan 1 Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

No comments:

Post a Comment