Monday, December 27, 2010

47 Tahun Maju Bersama

2010 akan melabuhkan tirainya, dan lebih 47 tahun bagi Sarawak sudah merdeka dan maju bersama Malaysia. Tidak dinafikan, Sarawak telah berkembang pesat dari segi ekonomi, pendidikan, kesihatan, politik, infrastuktur dan berbagai lagi. Dibawah kepimpinan kerajaan BN, Sarawak telah mampu membangunkan pekan-pekan kecil menjadi bandar dan bandaraya yang menyediakan peluang pekerjaan kepada semua rakyat tercinta. Semua ini mungkin tidak mampu dikecapi sekiranya Sarawak tidak dipimpin oleh pemimpin-pemimpin BN yang sentiasa bekerja siang dan malam bagi meningkatkan dan membangunkan Sarawak. Ucapan terima kasih diatas segala jasa yang dicurahkan oleh pemimpin-pemimpin ini.

Tetapi malang nya, setelah hampir 47 tahun maju bersama Malaysia, Sarawak masih tidak mempunyai perhubungan jalanraya setaraf negara jiran atau setaraf negeri-negeri lain di dalam Malaysia, kebanyakan kampung-kampung yang majoritinya diduduki kaum terbesar di Sarawak yakni kaum Iban atau Sea Dayak masih tidak menikmati bekalan air bersih, apatah lagi bekalan elektrik dan jalanraya. Sekolah-sekolah di pedalaman begitu naif sekali, sehingga ada yang tidak layak untuk diduduki. Klinik-klinik kesihatan juga tidak banyak berubah.

Dari segi ekonomi, masyarakat Iban agak ketinggalan. Bukannya tidak memiliki ilmu dan kemahiran, tetapi sayang hak mereka selalu dinafikan. Negeri yang terkenal dengan hasil bumi seperti gas dan petroleum, kayu balak dan kelapa sawit. Tetapi penduduk tempatan kebanyakan nya tidak menikmati hasil yang setimpal dengan kekayaan bumi mereka. Suatu waktu dulu, masyarakat Iban terkenal dan bangga kerana memiliki banyak tanah (NCR), tetapi sayang, semua tanah-tanah yang diteroka dan didiami sejak nenek moyang mereka ini tidah memiliki geran tanah. Jika ada pun yang memohon untuk mendapatkan geran tanah, pastinya melalui saat-saat yang sukar permohonan tersebut berkemungkinan tidak mendapat kelulusan yang mudah dan cepat, malah ada yang sampai meninggal dunia pun permohonan mereka belum diluluskan.
Tetapi yang menghairankan, ada sesetengah syarikat-syarikat besar yang asalnya entah datang dari mana, dengan senangnya memiliki tanah dan mendapatkan geran tanah, walhal semua tahu, tanah tersebut pada asalnya milik dan hak rakyat tempatan. Kita boleh lihat, mereka menguasai hampir seluruh bumi Sarawak, dari laut, pasir, tanah, balak, sehingga ke pusat-pusat membeli belah, hotel dan kawasan-kawasan perumahan. Begitu mudah kelulusan diberikan.

Apakah ini kesalahan pihak yang mentabdir atau tepat lagi wakil-wakil rakyat yang memerintah?Tentu sekali tidak, semua kesalahan ini terletak pada setiap pengundi, kerana mereka yang telah memenangkan pemimpin-pemimpin ini. Siapakah pemimpin-pemimpin ini jika tidak dipilih oleh rakyat?Mungkin saja mereka sama seperti rakyat biasa, menanti ajal dan maut yang menjemput dan saban hari memerah tenaga untuk mendapatkan sesuap nasi.

Kini, setelah lebih 47 Tahun 'Maju' bersama Malaysia, apakah kita sudah maju jika air yang kita minum kadang-kala bercampur dengan toksid diatas bumbung atau didalam sungai, apakah kita sudah maju, sekiranya jalan raya atau lebuh raya kita masih berlubang, becak dan berdebu, atau majukah kita sekiranya belum pukul 7 malam hampir semua rumah panjang gelap gelita. Adil kan kita memilih mereka selama ini?Berbaloi kah segala pengorbanan kita untuk mereka? Sekiranya kita merasakan kita sudah selesa selama 47 tahun yang lalu, biarkan pemimpin-pemimpin kita yang sedia ada terus memerintah, jika kita rasa tidak selesa, peluang dan hak itu ditangan kita.

Selamat tinggal 2010, selamat datang 2011. Semoga pada tahun yang ke 48 setelah ‘MAJU’ bersama Malaysia, rakyat negeri Sarawak akan tabah, kerana perubahan itu bukan setakat berubah dari segi kepimpinan, tetapi perubahan itu perlu datang dari diri sendiri dahulu. Berubah dari segi pemikiran, dari segi rohani, dari segi ekonomi, pendidikan, taraf hidup dan banyak lagi dan selepas itu barulah kita merubah orang lain.

No comments:

Post a Comment