Thursday, December 30, 2010

Tidak Jadi Pindah

MIRI – Cadangan untuk memindahkan Sekolah Menengah (SM) Sains Miri ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinjar, Lapok di Baram dibatalkan, sebaliknya sesi persekolahan akan diteruskan  seperti biasa.

Keputusan tidak rasmi itu diputuskan semasa mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM),  Dato Abd Ghafar Mahmud dan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Datin Fatimah Abdullah hari ini. Hadir sama pengetua Serina Sauni.

Sumber memberitahu, sehubungan itu pelajar tingkatan 2 hingga 5 bagi tahun 2011 akan melapor diri pada Ahad ini. “Mana-mana bangunan yang diisytihar tidak selamat akan diperbaiki dan dibina baharu dalam masa terdekat. Pihak sekolah akan mendapatkan kajian menyeluruh daripada Jabatan Kerja Raya (JKR),” jelas sumber itu.

Tambahnya, pihak sekolah akan mendapat bangunan kilat atau kabin dan bangunan yang baru dalam masa yang sama. Sementara itu, Isnin lalu ibu bapa membantah cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) untuk memindahkan SM Sains Miri di Bakam ke SMK Tinjar di Lapok, Baram, kira-kira 120 kilometer dari Miri. Sekolah yang menempatkan kira-kira 400 pelajar itu perlu dipindahkan segera kerana bangunan sekolah retak dan tidak selamat digunakan.

(Source by: Hazel Lee http://sarawakupdate.com/home/local-news/sm-sains-miri-tidak-jadi-berpindah-bangunan-diperbaiki-dan-dibina-semula/)

Apa kata ARP

Secara jujur saya tidak menyokong namun tidak membantah cadangan memindahkan pelajar SainSri ke SM Tinjar. Dan keputusan sudah dibuat, tidak ada perpindahan berlaku. Dari segi keselamatan, sememangnya kita tidak boleh bertolak ansur dan mengambil risiko dengan mempertaruhkan nyawa pelajar-pelajar dan guru-guru. Pihak sekolah dan kementerian sepatutnya sudah lama menyelesaikan masalah kerosakan di bangunan sekolah tersebut. Apapun isu nya, saya berharap agar pihak yang berkuasa menyelesaikan masalah itu dengan segera.

Tetapi jangan lupa, saya percaya lebih banyak lagi bangunan sekolah terutamanya yang terletak di kawasan pedalaman yang boleh dikatakan 'agak tidak selamat'. Semoga pihak yang berwajib tidak terlepas pandang, kerana saya percaya pelajar-pelajar dan guru-guru yang berada di sekolah tersebut pun mahu hak mereka tidak diabaikan. Mereka juga rakyat Malaysia sebagaiman warga Sainsri. 

Semoga selepas ini, pihak kerajaan akan membangunkan Pekan Lapok, supaya bukan sahaja pelajar dan guru yang akan berada di SM Tinjar tidak jauh ketinggalan dari rakan-rakan mereka di bandar. Selain daripada jalan raya, Pekan Lapok juga memerlukan banyak lagi kemudahan asas seperti Klinik Kesihatan, Balai Polis, Balai Bomba, Dewan Masyarakat dan sudah pasti bekalan elektrik 24 jam dan air bersih. 

Tuesday, December 28, 2010

Lapok oh Lapok (SM Sains Vs SM Tinjar)

Lapok oh Lapok..beberapa hari ini Lapok menjadi bualan hangat di kalangan orang ramai terutama masyarakat di sekitar Miri. Bukan nya cerita Pendekar Bujang Lapok, tetapi Pekan Lapok di mana terletak nya SMK Tinjar. Bagi ibu bapa yang ada anak belajar di SM Sains Miri, nama Pekan Lapok mungkin boleh menyebabkan mereka histeria, ini kerana ada ura-ura mahu memindahkan pelajar-pelajar dan guru-guru SM Sains Miri ke SMK Tinjar yang jaraknya lebih kurang 120KM dari Bandar Miri. Sebabnya kerana SM Sains Miri dikatakan tidak selamat untuk diduduki. 

Menurut sumber tidak rasmi 90% daripada ibu bapa dan guru-guru tidak bersetuju dengan cadangan untuk memindahkan sekolah ini ke SMK Tinjar. Ini kerana menurut mereka, Pekan Lapok serba kekurangan dari segi keperluan asas. Tidak ada bekalan elektrik 24 jam, tidak ada bekalan air yang bersih dan paling menjadi kerisauan ialah jalan raya yang berlubang dan tidak berturap. Selain daripada agak terpencil dan boleh dikategorikan terletak di pedalaman Pekan Lapok di mana terletak nya SMK Tinjar (500 meter dari Pekan Lapok) memiliki banyak kekurangan. 

Benar kata orang, ada hikmah disebalik apa yang berlaku. Jika sebelum ini, tidak ada orang yang peduli dan ambil tahu akan Pekan Lapok, apatah lagi hendak memahami kesengsaraan penduduk di sekitar Pekan Lapok. Ibu bapa merungut apabila sekolah ingin dipindahkan kerana selain daripada tidak memiliki kemudahan asas, Pekan Lapok juga tidak ada Klinik Kesihatan, Balai Polis, Balai Bomba dan ada orang menggelarkan Pekan Lapok sebagai pekan koboi. 

Saya dilahirkan dan dibesarkan di persekitaran Pekan Lapok sejak 29 tahun yang lalu. Saya amat tahu jatuh bangun Pekan Lapok. Dan saya amat arif tentang kesengsaraan penduduk di sekitar Pekan Lapok. Bagi mereka yang risau akan kesengsaraan pelajar-pelajar dan guru-guru yang hendak dipindahkan ke SMK Tinjar, itu ada rasionalnya. 

Untuk pengetahuan semua, sudah hampir 8 tahun Pekan Lapok tidak dihubungkan dengan pengangkutan awam atau tepat sekali bas. Jika dulu tambang menggunakan bas dari Pekan Lapok ke Miri sekitar RM10 untuk perjalanan satu hala, tetapi pada hari ini kos perjalanan adalah RM30 untuk satu hala menggunakan kereta sapu atau lebih dikenali “pribit”, dan kereta sapu ini bukan calang-calang kereta, hanya yang ada 4WD sahaja berani melalui Jalan Lapok. Selain daripada itu, harga barang keperluan asas di Pekan Lapok agak mahal jika dibandingkan dengan harga di Miri, ini kerana peniaga terpaksa menampung kos pengangkutan lebih. 

Setiap kali kerajaan menaikkan harga minyak dan kononnya mahu mempertingkatkan tahap pengangkutan awam, penduduk di Pekan Lapok makin ketinggalan, jangankan LRT atau kereta api, bas pun tidak dihubungkan dengan Pekan Lapok. Dan setiap kali kenaikan harga minyak, setiap kali itu juga harga barang keperluan asas akan meningkat. Dan rata-rata penduduk di sekitar kawasan Pekan Lapok adalah petani dan ada yang hidup di bawah paras kemiskinan. Namun begitu tidak ada orang pernah peduli akan kesengsaraan mereka. 

Sarawak sudah merdeka hampir 48 Tahun dan kita masih melihat ada kawasan yang masih mundur dan ketinggalan dari arus pembangunan. Pekan Lapok yang terletak di ulu Tinjar di dalam kawasan Baram merupakan antara penyumbang kepada kayu balak samada yang halal atau haram untuk negeri Sarawak dan Malaysia. Berbillion-billion ringgit hasil balak sudah dikeluarkan melalui Pekan Lapok  namun Pekan Lapok masih daif dan serba kekurangan. Benar kerajaan sudah berusaha membawa pembagunan ke kawasan Lapok dan kita bersyukur kerana hampir 50% penduduk di sekitar jalan ke Pekan Lapok sudah menikmati elektrik dan kerajaan juga nampak nya sudah mula mahu menurap jalan ke Pekan Lapok. Tetapi nampaknya kerajaan tidak begitu ikhlas kerana jalan itu diturap disebabkan mereka mahu membina satu lagi empangan Baram yang menjadi bantahan penduduk di sekitar Baram. 

Kepada mereka yang merasa bimbang akan perpindahan SM Sains Miri ke SMK Tinjar saya harap akan ada jalan penyelesaian. Saya percaya penduduk di sekitar Pekan Lapok tidak sangat mengharapkan pelajar-pelajar ini berpindah ke sana, selain menambahkan kerosakan jalan raya dengan pertambahan kenderaan ibu bapa dan guru-guru, saya kasihan kepada pelajar-pelajar SM Sains Miri, guru-guru dan ibu bapa yang tidak biasa dengan kesusahan, kesengsaraan, kedaifan penduduk sekitar Pekan Lapok, selain itu ia akan menambahkan bilangan manusia yang menyedut oksigen segar di kawasan pedalaman Pekan Lapok. Biarlah SMK Tinjar digunakan oleh anak-anak di sekitar Pekan Lapok, mungkin dengan cara itu, anak-anak itu kelak akan belajar bersungguh-sungguh demi mengubah kesengsaraan hidup agar setanding dengan pelajar-pelajar SM Sains Miri. 

Kepada pengkritik-pengkritik yang menghina Pekan Lapok, hentikan lah, kami penduduk Pekan Lapok tidak mengharapkan penghinaan, sejak merdeka kami sudah biasa dengan kedaifan di Pekan Lapok. Bak kata pepatah, datang tidak di undang, pergi tidak di halang.
Kepada pihak berkuasa yang membuat keputusan, carilah tempat yang sesuai di sekitar bandaraya Miri untuk menempatkan pelajar-pelajar dan guru-guru ini, kasihan anak-anak, isteri dan suami mereka jika dipaksa berpindah ke SMK Tinjar. Jika tidak ada sekolah yang sesuai untuk menempatkan mereka, sewa sahaja bangunan Yu Lan Plaza atau mana-mana bangunan komersial lain di bandar miri dan jadikan ia SM Sains Miri sementara kerja-kerja membangun sekolah baru selesai. 

Kepada kerajaan BN, terima kasih diatas pembangunan yang telah dibawa ke Pekan Lapok, tidak dinafikan, sejak merdeka kami penduduk di sekitar Pekan Lapok sangat gembira dengan keadaan pembagunan yang kami rasai. Jika tidak kerana kami penduduk-penduduk di kawasan Pekan Lapok, mungkin penjualan kereta 4WD tidak berapa laku. Oh ya, diharapkan pihak kerajaan juga membangunkan seluruh negeri Sarawak terutamanya kawasan-kawasan pedalaman yang masih tidak memiliki kemudahan asas. Bukankah Ketua Menteri sering berkata, “Tidak ada parti lain yang boleh membangunkan Sarawak, hanya BN yang boleh membangun, membela nasib rakyat Sarawak” dan ini lah yang dikatakan pembangunan 47 Tahun sudah merdeka.

Monday, December 27, 2010

47 Tahun Maju Bersama

2010 akan melabuhkan tirainya, dan lebih 47 tahun bagi Sarawak sudah merdeka dan maju bersama Malaysia. Tidak dinafikan, Sarawak telah berkembang pesat dari segi ekonomi, pendidikan, kesihatan, politik, infrastuktur dan berbagai lagi. Dibawah kepimpinan kerajaan BN, Sarawak telah mampu membangunkan pekan-pekan kecil menjadi bandar dan bandaraya yang menyediakan peluang pekerjaan kepada semua rakyat tercinta. Semua ini mungkin tidak mampu dikecapi sekiranya Sarawak tidak dipimpin oleh pemimpin-pemimpin BN yang sentiasa bekerja siang dan malam bagi meningkatkan dan membangunkan Sarawak. Ucapan terima kasih diatas segala jasa yang dicurahkan oleh pemimpin-pemimpin ini.

Tetapi malang nya, setelah hampir 47 tahun maju bersama Malaysia, Sarawak masih tidak mempunyai perhubungan jalanraya setaraf negara jiran atau setaraf negeri-negeri lain di dalam Malaysia, kebanyakan kampung-kampung yang majoritinya diduduki kaum terbesar di Sarawak yakni kaum Iban atau Sea Dayak masih tidak menikmati bekalan air bersih, apatah lagi bekalan elektrik dan jalanraya. Sekolah-sekolah di pedalaman begitu naif sekali, sehingga ada yang tidak layak untuk diduduki. Klinik-klinik kesihatan juga tidak banyak berubah.

Dari segi ekonomi, masyarakat Iban agak ketinggalan. Bukannya tidak memiliki ilmu dan kemahiran, tetapi sayang hak mereka selalu dinafikan. Negeri yang terkenal dengan hasil bumi seperti gas dan petroleum, kayu balak dan kelapa sawit. Tetapi penduduk tempatan kebanyakan nya tidak menikmati hasil yang setimpal dengan kekayaan bumi mereka. Suatu waktu dulu, masyarakat Iban terkenal dan bangga kerana memiliki banyak tanah (NCR), tetapi sayang, semua tanah-tanah yang diteroka dan didiami sejak nenek moyang mereka ini tidah memiliki geran tanah. Jika ada pun yang memohon untuk mendapatkan geran tanah, pastinya melalui saat-saat yang sukar permohonan tersebut berkemungkinan tidak mendapat kelulusan yang mudah dan cepat, malah ada yang sampai meninggal dunia pun permohonan mereka belum diluluskan.
Tetapi yang menghairankan, ada sesetengah syarikat-syarikat besar yang asalnya entah datang dari mana, dengan senangnya memiliki tanah dan mendapatkan geran tanah, walhal semua tahu, tanah tersebut pada asalnya milik dan hak rakyat tempatan. Kita boleh lihat, mereka menguasai hampir seluruh bumi Sarawak, dari laut, pasir, tanah, balak, sehingga ke pusat-pusat membeli belah, hotel dan kawasan-kawasan perumahan. Begitu mudah kelulusan diberikan.

Apakah ini kesalahan pihak yang mentabdir atau tepat lagi wakil-wakil rakyat yang memerintah?Tentu sekali tidak, semua kesalahan ini terletak pada setiap pengundi, kerana mereka yang telah memenangkan pemimpin-pemimpin ini. Siapakah pemimpin-pemimpin ini jika tidak dipilih oleh rakyat?Mungkin saja mereka sama seperti rakyat biasa, menanti ajal dan maut yang menjemput dan saban hari memerah tenaga untuk mendapatkan sesuap nasi.

Kini, setelah lebih 47 Tahun 'Maju' bersama Malaysia, apakah kita sudah maju jika air yang kita minum kadang-kala bercampur dengan toksid diatas bumbung atau didalam sungai, apakah kita sudah maju, sekiranya jalan raya atau lebuh raya kita masih berlubang, becak dan berdebu, atau majukah kita sekiranya belum pukul 7 malam hampir semua rumah panjang gelap gelita. Adil kan kita memilih mereka selama ini?Berbaloi kah segala pengorbanan kita untuk mereka? Sekiranya kita merasakan kita sudah selesa selama 47 tahun yang lalu, biarkan pemimpin-pemimpin kita yang sedia ada terus memerintah, jika kita rasa tidak selesa, peluang dan hak itu ditangan kita.

Selamat tinggal 2010, selamat datang 2011. Semoga pada tahun yang ke 48 setelah ‘MAJU’ bersama Malaysia, rakyat negeri Sarawak akan tabah, kerana perubahan itu bukan setakat berubah dari segi kepimpinan, tetapi perubahan itu perlu datang dari diri sendiri dahulu. Berubah dari segi pemikiran, dari segi rohani, dari segi ekonomi, pendidikan, taraf hidup dan banyak lagi dan selepas itu barulah kita merubah orang lain.

Thursday, December 23, 2010

Selamat Pengantin Baru

Belum terlewat untuk saya mengucapkan selamat pengantin baru kepada Taib Mahmud dan isteri tercinta. Difahamkan perkahwinan yang dilangsungkan pada 18/12 yang lalu menelan belanja yang mahal. Beruntung nya Taib memiliki harta yang begitu banyak dan bertuahnya isteri dia. Hari Krismas dah dekat, malas nak mencoret banyak-banyak. Apa yang pasti pada 18/12 begitu besar jurangnya ketika Taib menayangkan kekayaan beliau dengan apa yang kami rakyat miskin ini terpaksa lalui dengan segala kesengsaraan hasil dari polisi politik pembangunan Taib dan BN.

 (Gambar isteri Taib dengan segala kemewahan di majlis perkahwinan pada 18/12/2010)



(Video jalan di Sarawak, begini lah hasil politik pembangunan yang di canang2 oleh Taib)



Friday, December 17, 2010

Nak nombor 2,dapat nombor 1

Saya cuba menulis dan mengimbas kembali apa yang berlaku sehari dua ini. Bagi peminat politik tanah air, pasti mengetahui perkembangan yang berlaku. Apa yang menarik minat saya untuk kembali mencoret petang ini adalah mengenai pemimpin yang mengidamkan jawatan nombor dua dalam parti. Parti mana?? Saya percaya kalian semua tahu. Tapi nasib dia ni bagaikan orang yang membeli nombor ekor, hajat di hati kalau boleh biarlah nombor yang dibeli itu naik..memadai lah sekadar nombor 2..tapi nombor naik dan kena pulak hadiah pertama. Lebih kurang begitu lah dalam politik ni. Semua mengidamkan untuk menjawat jawatan penting dalam parti. Alasan nya mudah...tepuk dada tanya selera diri sendiri kenapa?
Berbalik kepada cerita di atas, hampir semua peminat politik tanah air kenal siapa Zaid Ibrahim. Beliau seorang pemimping yang bercita-cita tinggi. Kalau bukan seorang yang punyai prinsip dan perjuangan (benar atau tidak, tanya diri sendiri) masakan dia sanggup melepaskan jawatan menteri yang diberikan UMNO. Bukan itu sahaja, dia mengeluarkan diri dari UMNO dan menyertai PKR, alas an nya inginkan perubahan dan keadilan untuk rakyat Malaysia. Belum pun lama bersama PKR dia sudah punya cita-cita yang tinggi, jawatan nombor 2 jadi pilihan. Ini kerana jika dia dapat menawan jawatan nombor 2, maka yang utama yakni jawatan nombor 1 makin dekat untuk digenggam. Tapi separuh jalan dalam perjuangan dia telah gagal dan menarik diri dari pertandingan. Maka bermacam-macam dalih dan alasan yang diberikan bagi menghalalkan tindakan beliau menarik diri.
Seperti yang dijanjikan oleh Zaid, dia akan menubuhkan parti baru dan beliau telah melantik dirinya sebagai presiden parti. Dari AZIM ia menjadi KITA. Belum sampai 24 jam, rumah yang didirikan sudah mulai bergoyang, ini kerana menurut presiden AKIM, Hanafi Mamat mengatakan bahawa beliau adalah presiden yang sah.
Di Sarawak, tidak jauh beza nya. Bukan menjadi rahsia parti-parti politik terutamanya parti-parti kaum dayak berpecah malah ada yang lebih syahdu diharamkan pendaftaran hanya kerana krisis dalam parti yang berpunca daripada perebutan jawatan sesama sendiri. Kali ini izinkan saya menyentuh kaum dayak, maaf saya bukanya rasis dan perkauman. Tetapi ini adalah kenyataan yang harus diterima pemimpin-pemimpin dayak yang ada pada masa ini. Kita sering mendengar rungutan malah tangisan anak-anak dayak, mengapa ada di sesetengah tempat kawasan majoriti penduduk dayak jauh ketinggalan dari segi pembangunan, pendidikan dan kesihatan. Dari segi ekonomi, masyarakat dayak juga jauh ketinggalan dari kaum-kaum lain. Sekali lagi saya memohon maaf, saya bukan hendak menyemai api kebencian. Jika kita fikirkan kembali, salah siapakah semua ini? Harus kah kesalahan ini diletakkan kepada UMNO? Apakah ini salah Taib Mahmud seorang? Kita selalu terdengar ada yang menyalahkan orang lain kerana dasar perintah dan pecah (Rules & Devide). Dari segi ideologi, ternyata benar Taib Mahmud telah menang, dia berjaya memerintah Sarawak sejak sekian lama walhal dia datang dari kaum minoriti.
Berbalik kepada perkara yang sering dibangkitkan, kenapa dayak tidak dapat memerintah Sarawak? Punca utama adalah kerana nombor 1 atau tepat sekali presiden atau pengerusi. Berpunca dari nombor 1 ini, maka kaum dayak berebut-rebut hendak menjadi nombor 1 dan menyebabkan perpecahan di dalam masyarakat dayak. Pemimpin-pemimpin ini menggunakan jawatan yang ada untuk kepentingan peribadi dan survival politik masing-masing.  Tidak perlu saya katakan siapakah mereka, anda sendiri menyaksikan perbalahan yang berlaku. Dalam ramai-ramai pemimpin yang gilakan nombor 1, hanya seorang sahaja pemimpin yang tidak bercita-cita atau mahu memiliki angka nombor 1 itu. Tetapi beliau memang ditakdirkan sebegitu sesuai dengan nama nya Jabu anak Numpang. Apakah alasan nya hanya dia sendiri yang tahu, yang pasti demi kelangsungan hidup di dalam politik, kadang-kadang menumpang itu lebih baik daripada menjadi pengemudi, kerana jika silap langkah, boleh melemaskan dan membakar diri sendiri.
Punca yang kedua adalah pendidikan. Mahu tidak mahu, masyarakat dayak harus menerima realiti bahawa mereka ketinggalan dari segi pendidikan. (Saya tidak mahu berdebat mengenai berapa jumlah siswazah atau doktorat) Kenyataan nya, jika kita lihat majoriti masyarakat dayak yang pada masa ini sudah berumur di antara 50 tahun dan ke atas memiliki pendidikan asas begitu kecil jumlahnya. Rata-rata golongan ini adalah penyokong setia BN. Jika masyarakat dayak dari dulu lagi tidak ketinggalan dari segi pendidikan, secara tidak langsung golongan ini tidak akan mudah dimanipulasi, ditipu dan mungkin isu-isu asas seperti geran tanah NCR sudah lama di selesaikan.
Yang ketiga dari segi ekomoni. Memang benar, ada di kalangan masyarakat dayak yang sudah maju dari segi ekonomi dan setanding dengan bangsa-bangsa lain. Penduduk-penduduk kampung pun sudah ada yang menjana pendapatan 5 angka sebulan. Tetapi hakikatnya hanya segelintir sahaja masyarakat dayak yang mempunyai atau memiliki sumber kewangan yang kukuh. Jika dibuat kajian, berapa ramai masyarakat dayak yang memiliki saham, perusahaan, kilang-kilang, ladang-ladang bertaraf nasional. Dan jika dikumpul segala harta masyarakat dayak berapa billion ka jumlah nya?
Masyarat dayak lemah bukan disebabkan oleh orang lain. Masyarakat dayak tidak dapat bersatu bukan kerana kaum lain. Bersatu, maju dan berjaya sesuatu kaum adalah kerana kaum itu sendiri. Walaupun ada orang lain yang cuba memecah belahkan, cuba menghuru harakan, dan menjadi hak kaum tersebut untuk mempertahankan kesatuan, kemajuan kaum mereka. Dan untuk berjaya, tidak hanya boleh mementingkan diri sendiri, tidak boleh hanya berdiri di atas tapak sendiri, sesuatu kaum itu bergantung kepada kaum yang lain, seperti anggota tubuh, jika hanya kaki yang berjalan dan mata tidak melihat, bagaimana boleh sampai ke destinasi dengan selamat.
(Akan bersambung...)

Tuesday, December 14, 2010

Ideologi dan Manipulasi

Pilihanraya Sarawak menjelang tiba, di mana-mana kita akan terjumpa pengulas-pengulas tidak bertauliah dan tukang-tukang tilik masing-masing membuat andaian bila pilihanraya akan diadakan. Dan tidak kurang juga hebatnya ada yang telah meramalkan siapa akan menang dan di mana. Ada juga yang meramalkan bahawa Barisan Nasional akan mendapat tentangan hebat daripada penduduk Sarawak dan kemungkinan untuk kali pertama Barisan Nasional mungking akan kehilangan majoriti 2/3 untuk terus memerintah Sarawak. Disebalik itu ada yang lebih emosional dan berani menelah kemungkinan untuk pakatan pembangkang atau Pakatan Rakyat akan memerintah Sarawak. Semuanya cuba berlumba-lumba untuk mengeluarkan pendapat masing-masing terpulang kepada ideologi tersendiri. Bagi penyokong BN, pembangkang tidak ubah tin kosong yang mendendangkan lagu yang sama setiap kali menjelang pilihanraya, pembangkang dianggap pengacau dan tidak harus di layan. Bagi penyokong Pakatan Rakyat (PKR, PAS, DAP, SNAP) Barisan Nasional mesti dikurangkan majoriti 2/3 dan kalau boleh negeri Sarawak mesti ditawan. Alasan mereka mudah, BN telah memerintah sejak sekian lama, dan masih banyak isu-isu pembangunan, tanah, pendidikan, kesihatan, ketidakadilan, rasuah malah kronisme yang harus ditamatkan.
Saya cuba menulis untuk berlaku adil di belah kedua-dua pihak yakni BN dan PR. Tidak dinafikan jiwa saya memberontak, bukan tidak bersyukur dengan apa yang telah dinikmati dan disumbangkan oleh kerajaan yang ada sekarang, tetapi lebih banyak usaha yang perlu dilakukan oleh kerajaan yang memerintah untuk kebaikan rakyat negeri Sarawak. Saya tidak mahu menyentuh soal satu satu-satu kaum, kerana saya tidak mahu dianggap perkauman atau rasist. Apa yang ingin saya kongsikan disini adalah kenyataan yang perlu diterima oleh kedua-dua pihak. Secara jujur saya merupakan ahli parti salah satu komponen BN di Sarawak. Namun begitu tidak bermaksud saya menyokong segala keputusan dan dasar parti secara membuta tuli. Sebagai ahli kita ada hak untuk bersuara dan menegur pucuk pimpinan parti sekiranya apa yang kita rasa tidak betul.
Kembali kepada apa yang ingin saya kongsikan bersama kepada pembaca yang sudi membaca, semalam saya menghadiri mesyuarat tahunan parti yang saya anggotai. Mesyuarat ini secara khusus khas untuk pemimpin atau ahli jawankuasa parti. Saya dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk menganggotai barisan kepimpinan di peringkat bahagian yang membolehkan saya menghadiri mesyuarat ini. Apa sangat jawatan itu hendak dibanggakan. Maaf dan mungkin keterlaluan bagi saya ingin mengatakan bahawa kebanyakan orang ingin melibatkan diri dalam politik kerana ada agenda tersendiri, bak kata orang ada udang di sebalik batu. Secara jujur saya telah menyertai dan menjadi ahli jawatankuasa sejak 4 tahun yang lalu,masih muda dah mentah di dalam politik bagi orang muda seperti saya. Matlamat saya ingin berkhidmat untuk rakyat, kepada komuniti saya, bukan untuk mengejar jawatan, tender, projek atau kesenangan peribadi. Bukti nya jelas, sampai sekarang saya masih bekerja makan gaji. Saya tidak pernah gunakan duit parti untuk melakukan kerja-kerja parti,dengan duit gaji yang tidak seberapa itu saya cuba gagahkan diri terus menyokong perjuangan parti, kerana bagi saya keikhlasan untuk membawa perubahan dari segi pendidikan, ekonomi dan kesihatan terutama di kawasan saya lebih penting daripada benda lain.
Hakikatnya saya sangat sedih, kerana sehingga hari ini negeri Sarawak agak ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur, tidak perlu saya sebutkan satu-satu persatu, bagi penduduk Sarawak mereka tahu apa kekurangan mereka. Saya tidak mahu menyentuh isu tersebut dengan mendalam. Apa yang cuba saya ingin sampaikan adalah sokongan ahli-ahli yang membuta tuli. Saya tidak menyalahkan mereka, mereka telah dibesarkan dengan ideologi yang sama iaitu hanya Barisan Nasional yang boleh membawa pembangunan dan perubahan, walhal dalam masa yang sama mereka masih meminta simpati wakil rakyat untuk membantu mereka dalam perkara asas seperti jalan raya, air bersih, eletrik walhal Sarawak sudah merdeka bukan nya baru 10 tahun. Kemudahan asas ini sepatutnya telah lama disediakan, tapi masih mereka menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada Barisan Nasional. Dan yang lebih menyedihkan, dibawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional, hak tanah adat atau NCR penduduk masih dinafikan. Kita dapat melihat begitu banyak ladang-ladang kelapa sawit yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat yang begitu mudah mendapat hak atau geran tanah. Sehingga ada seorang ‘tuai rumah” (ketua kampung di rumah panjang) memaklumkan kepada wakit rakyat bahawa di penempatan mereka, ada di antara penduduk yang sudah tidak memiliki walau sekeping tanah untuk mendirikan tandas jauh lagi untuk bercucuk tanam. Ini kerana menurut pihak syarikat yang mengusahakan ladang kelapa sawit tersebut, di dalam geran tidak ada tanah NCR atau tanah penduduk. Tapi dengan hebatnya “tuai rumah” yang sama menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada Barisan Nasional. Wow...dalam hati kecil saya berkata, begitu kuat ideologi dan manipulasi yang telah disemai BN sejak merdeka.
Sejak berkurun lama nya, masyarakat Sarawak khusunya masyarakat Dayak (maaf, terpaksa menyebut kaum) mengatakan bahawa mereka kaya dengan tanah adat atau NCR. Tetapi sayang, sehingga ke hari ini ramai yang tidak sedar sebenarnya mereka tidak memiliki walau sekeping tanah untuk mendirikan tandas, ini kerana tidak ada nama mereka tercatat di dalam geran. Yang ada hanya mereka yang membeli rumah di kawasan bandar. Bila-bila masa sahaja syarikat-syarikat besar (tidak perlu saya dedahkan) boleh datang membawa segala peralatan untuk mengambil hak mereka. Kerana syarikat-syarikat besar ini telah ada hak atau geran ke atas tanah tersebut. Saya bukan peguam, tetapi secara amnya pihak syarikat ini berdiri di landasan yang betul dan sekiranya dibawa ke mahkamah mereka ada bukti kukuh menyatakan bahawa tanah tersebut adalah milik mereka.  Tetapi lagi penduduk yang sama mengundi dan memenangkan Barisan Nasional yang secara tidak langsung menafikan hak penduduk tersebut terhadap tanah mereka.
Baiklah,lupakan sekejap pasal tanah, kerana saya tidak arif dari segi perundangan berkaitan tanah. Saya ingin berkongsi kembali pengalaman mesyuarat semalam, majoriti “tuai rumah” memaklumkan bahawa mereka tidak membenarkan pihak pembangkang untuk naik ke rumah panjang, jauh sekali untuk membenarkan mereka menyampaikan sepatah dua kata. Terus terang saya katakan perkara ini berlaku di majoriti semua rumah panjang di seluruh Sarawak. Sekali lagi saya memohon maaf, kenapa saya lebih berbicara berkenaan rumah panjang, ini kerana kenyataannya bahawa penduduk-penduduk rumah panjang ini begitu setia dengan BN dari dulu lagi dan tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa mana-mana parti samada BN atau PR bergantung kepada undi dari kawasan pedalaman untuk menawan Sarawak dan seterusnya Putrajaya. Bukan mudah untuk menawan hati pengundi-pengundi ini jika ideologi dan pendekatan yang dibawa tidak bersesuaian.
Hari ini, semakin ramai hero-hero yang cuba memperjuangkan dan mengimbangi kuasa BN di Sarawak, tidak perlu saya katakan satu persatu. Pihak PR ada strategi tersendiri dan pastinya BN akan menggunakan segala sumber dan strategi yang ada untuk mempertahankan Sarawak. Nasihat saya kepada kedua-dua pihak, jika ingin menang di pertarungan yang bakal menjelang bila-bila masa, strategi dan ideologi yang betul harus digunakan. Apakah strategi dan ideologi itu tidak perlu saya katakan, kedua-dua pihak memiliki pakar strategi dan ideologi masing-masing.
Ramalan saya,BN akan terus memerintah dengan majoriti 2/3 kerana tuai-tuai rumah ini berdiri teguh di belakang BN, jika ada pun seorang dua yang tidak bersetuju dengan dasar BN, mereka harus bersetuju dan harus menyokong BN kerana bagi mereka, hanya BN yang boleh membawa pembangunan dan lebih-lebih lagi gaji mereka dibayar oleh BN. Dan tuai-tuai rumah ini akan memaklumkan kepada semua penduduk di kawasan jagaan mereka bahawa mereka harus memangkah simbol dacing walaupun hakikat dan kebenaran segala apa yang mereka banggakan selama ini sedikit demi sedikit telah dikikis.
Kepada PR, jika mereka mengimpikan untuk memerintah Sarawak, kemungkinan itu menjadi kenyatan bagi saya mungkin 15-20 tahun yang akan datang. Andaian saya berdasarkan penilaian pada masa sekarang, majoriti penduduk Sarawak yang sudah layak mengundi belum mendaftar sebagai pengundi, dan dalam tempoh 15-20 tahun akan datang, akan lebih ramai golongan muda yang mungkin tidak bergantung kepada parti tetapi akan memilih mengikut kemampuan mana-mana parti atau calon yang dilihat bersih, boleh menyuarakan hak mereka di platform yang betul.
Akhir sekali saya doakan untuk keamanan, kemakmuran, keadilan kepada seluruh rakyat Sarawak khasnya dan rakyat Malaysia am nya. Semoga mana-mana parti yang memerintah akan mengutamakan rakyat dari kepentingan diri sendiri, sesuai dengan slogan 1 Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.