Sunday, January 2, 2011

Selamat Kembali Ke Sekolah

ARP nak ucapkan Selamat Tahun Baru 2011 kepada semua pengunjung,semoga di tahun baru ini,akan membawa kesejahteraan, kemakmuran dan kebahagian kepada semua.

Di awal tahun baru ini, saya berkesempatan menjenguk pendaftaran pelajar-pelajar baru di SMK Tinjar. Saya dapat melihat keriangan di wajah para pelajar dan juga ibu bapa. Walaupun SMK Tinjar terletak jauh di pedalaman dan serba kekurangan dari segi kemudahan asas, namun dapat saya lihat wajah ceria para ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke SMK Tinjar. Mereka bukan sahaja teruja kerana anak-anak mereka boleh menggunakan bangunan sekolah baru, tetapi mungkin kerana mereka dapat menjimatkan sedikit perbelanjaan daripada terpaksa menghantar anak mereka ke SMK Bakong yang terletak lebih kurang 35KM dari Pekan Lapok.

Jaraknya tidak jauh. Bagi kita yang biasa memandu di dalam bandar, jarak 35KM mungkin boleh sampai dalam masa 15 minit jika tidak ada kesesakan lalulintas. Tetapi bagi penduduk yang ‘tabah’ dan pelawat yang pernah melalui Jalan Lapok (Dari Bakong ke Pekan Lapok) jarak 35KM itu adalah satu perjalanan yang sungguh panjang. Setelah hampir 48 Tahun merdeka, sepatutnya perjalanan yang memakan masa lebih kurang 15 minit ini tidak harus berlarutan sehingga sejam lebih. Belum lagi ditambah dengan kesengsaraan penumpang yang terpaksa berhinjut-hinjut menari mengikut rentak lubang-lubang di jalan raya.

Bagi ibu-ibu yang sarat mengandung, bayangkan kesengsaraan yang mereka hadapi, begitu juga sekiranya ada di antara penduduk yang sakit, pasti perjalanan mendapatkan rawatan di Klinik Bakong atau ke bandaraya Miri pasti akan menambahkan kesakitan dan bukan nya menyembuhkan. Bagi mereka yang nak merasakan sendiri pengalaman tersebut amatlah dialu-alukan terutama kepada pihak yang berkuasa membuat dasar pembangunan.

Berbalik ke SMK Tinjar, selamat meneruskan pelajaran kepada para pelajar. Semoga semuanya akan berjaya dan diharapkan ada diantara pelajar-pelajar ini suatu hari nanti akan menjadi seorang pemimpin yang boleh membangunkan Pekan Lapok. Jika suatu hari nanti, kalian sudah berjaya, jangan lupakan asal usul dan jangan segan menjenguk Pekan Lapok lagi.

Kepada guru-guru yang ditempatkan di SMK Tinjar, kami bersyukur kerana anda sudi mengajar di kawasan pedalaman, walau kami tahu bukan semuanya ikhlas. Ajarlah anak-anak kami dengan tabah, dengan penuh kesabaran, dengan penuh keikhlasan kerana kami tidak akan dapat membalas jasa-jasa guru, hanya yang Maha Kuasa dapat membalas segalanya. Kepada guru-guru yang merungut, mengeluh dan menyesal ditempatkan di SMK Tinjar (jika ada), saya merayu kepada cikgu-cikgu untuk meletak jawatan dan mencari pekerjaan lain. Kami tidak mahu hanya kerana sebilangan kecil guru-guru seperti kamu akan merosakkan anak-anak kami. Ingatlah, kamu tidak pernah dipaksa menjadi cikgu, dan pekerjaan ‘guru’ itu tidak pernah memilih kamu tetapi kamu sendiri yang memilih kerja itu.

Kepada pihak yang berwajib, janganlah kerana pelajar-pelajar SM Sainsri tidak jadi dipindahkan ke SMK Tinjar, maka kamu semua menutup mata sebelah dengan permasalahan pelajar-pelajar di SMK Tinjar. Ingatlah, mereka juga anak-anak penduduk Malaysia yang sama-sama membayar cukai pendapatan, dan mereka berhak mendapatkan kemudahan asas seperti Klinik Kesihatan, kemudahan air bersih, jalan raya yang berturap, bekalan eletrik dan banyak lagi keperluan asas yang harus disediakan bukan sahaja kepada pelajar dan guru, tetapi kepada semua penduduk di kawasan Pekan Lapok. Kita sudah Maju Bersama Malaysia sejak 47 Tahun yang lalu, dan maju kah kita di Pekan Lapok jika apa yang kita lihat dan rasai sekarang ini tidak jauh beza nya dengan zaman sebelum merdeka????Seperti kata Nabil, “Lu pikirlah sendiri”

No comments:

Post a Comment